~ AHLAN WA SAHLAN ~ SELAMAT DATANG KE HALAMAN PAS CAWANGAN CHERATING ~ MINDA PEMUDA CHERATING ~ http://pascherating.blogspot.com ~ SYUKRAN JAZILAN ~ TERIMA KASIH ~

Wednesday, February 9, 2011

Hari Kekasih atau Hari Murtad

Tarikh 14 Febuari setiap tahun adalah tarikh yang tidak asing lagi bagi pasangan romantik yang sedang hangat bercinta. Pada setiap tahun permintaan Ros Merah pada tarikh tersebut juga akan meningkat secara mendadak. Itulah hari yang digelar Hari Kekasih ataupun Valentine Day.

Sesetengah restoran, hotel dan pusat membeli belah akan menawarkan pakej-pakej istimewa kepada pasangan bercinta. Tidak ketinggalan juga dengan stesyen-stesyen tv dan radio giat mempromosikan hari tersebut dengan pelbagai program bagi memeriahkan perayaan tersebut.

Perayaan Hari Kekasih ini semakin mendapat sambutan generasi muda sekarang kesan dari budaya asing yang dibawa masuk oleh saluran media acuan barat dan seperti direstui pula oleh pemimpin negara. Bagi mereka, perayaan ini adalah saat paling tepat untuk berkasih sayang dengan mengungkapkan perasaan cinta kepada pasangannya.

Biasanya muda-mudi akan mencari tempat yang romantik untuk berdua-duan bagi meraikan perayaan ini yang dimulai dengan saling bertukar-tukar hadiah sambil melafazkan kata-kata puitis cinta. Lalu pasangan kemaruk tersebut akan hilang di dalam dunia khayalan yang kemuncaknya tergadailah maruah dan agama. Syaitan mulalah bertepuk tangan. Musuh Islam bersorak gembira melihat anak muda Islam masuk kedalam jerat mereka. Statistik anak luar nikah dan pembuangan anak akan terus meningkat saban tahun.

Pernahkah kita terfikir dari mana asalnya perayaan ini dan apa hukumnya kita meraikan hari tersebut?.

Menurut sejarah, terdapat beberapa versi penceritaan yang berkaitan dengan asal-usul perayaan tersebut. Rasanya tak perlulah saya ceritakan satu persatu versi tersebut. Walaubagaimanapun, semuanya berkisar kepada kisah paderi Kristian bernama Saint Valentine dan pendiriannya tentang cinta.

Berdasarkan sumber Kristian, sekurang-kurangnya terdapat tiga orang St. Valentine yang berbeza. Kesemua mereka merupakan syahid, ianya disebut sebagai golongan syahid yang terawal pada tarikh 14 Febuari. Ada juga yang menyatakan Valentine adalah perayaan Kristian terhadap kecintaan kepada Tuhan, dipersembahkan kepada Jasus dan dikalangan penganut Kristian, St. Valentine merupakan syahid abad ketiga. Hari ini dilihat begitu meluas sekali dirayakan di USA sebagai perayaan cinta di zaman sekular.

Berdasarkan fakta tersebut, jelaslah Valentine merupakan sebuah perayaan ritual didalam agama Kristian. Ini sekaligus bercanggah dengan prinsip Islam yang tidak membenarkan umatnya meniru identiti atau cara hidup agama lain lebih-lebih dalam soal yang melibatkan aqidah Islam. Hadis sahih yang berbunyi " Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia turut termasuk bersama golongan tersebut" jelas melarang kita dari menyerupai perbuatan kaum lain apatah lagi menyertai perayaan agama lain.

Sekiranya kita menyemak hukum menyambut perayaan ini, Syaikh al-'Utsaimin pernah berkata "Maka bila dalam merayakan hari valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir (murtad) dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar".

Mereka yang mempopularkan sambutan Hari Valentine ini kepada penganut Islam dan menampakkan sambutannya sebagai satu perkara yang begitu romantis serta indah bagi pasangan-pasangan yang ingin membuktikan perasaan cinta mereka. Inilah sebenarnya sikap syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyadur perbuatan maksiat agar kelihatan seperti satu perkara yang baik dan diamalkan oleh manusia tanpa rasa berdosa. Firman-Nya Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik”. – al-Hijr (15) : 39-40

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 juga telah memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.

Jadi, apakah lagi alasan kita untuk turut menyambut hari kekasih? Terang-terangan 14 Februari adalah hari untuk mengingati kematian St Valentine.

Ini bukanlah bermaksud Islam melarang umatnya berkasih sayang antara satu sama lain. Fitrah manusia untuk bekasih sayang tidak pernah disekat oleh Islam. Bahkan Rasulullah sendiri menganjurkan kita semua agar mengasihi semua makhluk di muka bumi ini sepertimana hadis baginda yang berbunyi "Kasihilah siapa sahaja yang ada di bumi nescaya akan mengasihi kamu siapa-siapa sahaja (malaikat) yang di langit." (Riwayat Abu Daud).

Oleh sebab itulah Islam mengariskan panduan dalam berkasih sayang sesama manusia agar ianya menjadi batas sempadan bagi mengelak perkara buruk dan hina berlaku.

Justeru itu hendaklah pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya untuk menghalang budaya golongan yang ingkar kepada Allah ini dari diamalkan oleh umat Islam di Malaysia. Media Massa sepatutnya dihalang dari memasyhurkan sambutan Hari Kekasih ini kepada umat Islam. Sebagai gantian media massa perlu digunakan untuk menyebarkan fatwa-fatwa para ulamak yang mengharamkan sambutan Hari Kekasih.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...