1. Pertamanya kita haruslah menyakini bahawa pencipta alam ini iaitu ALLAH SWT adalah Maha Bijaksana, Maha Mengetahui dan tidak memerlukan pertolongan orang lain. Ini terbukti dengan kewujudan alam ini yang tersergam indah tanpa cacat celanya. Malahan setiap satu yang diciptakan itu saling memerlukan diantara satu sama lain. Dari sudut saintifik, situasi ini dikenali dengan nama “Rantai Makanan”. Keindahan dan kekemasan alam ini tidak mungkin wujud dan terjamin kesejahteraannya sekiranya tidak ditadbir oleh yang Maha Berkuasa iaitu ALLAH SWT.
2. Kita mestilah mengimani bahawa segala yang diciptakan oleh ALLAH tidaklah sia-sia ataupun tanpa sebarang tujuan. Walaupun terkadang kita amat sulit untuk mengenalpasti tujuan sebenar ALLAH menjadikan sesuatu itu. Terutamanya apabila kita ditakdirkan menghadapi musibah atau kecelakaan. Kita sering mempersoalkan kenapa terjadi kepada kita kan?. Tapi ingatlah, ALLAH lebih mengetahui sesuatu yang ditakdirkan itu. Sekecil-kecil nyamuk, anai-anai, dan hama pun mempunyai peranan dan fungsinya tersendiri. Jikalau salah satunya tidak wujud, maka pincang la ekosistem didunia ini.
3. Kita mestilah mengimani bahawa ALLAH SWT telah mengutuskan rasul dan diturunkan pula al-Quran bagi mengajar manusia tentang tujuan kewujudan manusia didunia dan kearah mana destinasi sebenar yang mesti dituju. Dalam hal ini, kita amat yakin bahawa manusia diciptakan oleh ALLAH SWT dan penciptanyalah yang lebih arif segalanya tentang hasil ciptaanya. Sebagai contohnya:- apabila kita membeli sebuah peralatan elektrik yang baru, sudah semestinya kita dibekalkan dengan “Manual” ataupun buku panduan pengguna yang dibuat oleh pencipta alat tersebut. Pada hari pertama alat tersebut dihantar ke rumah, seorang juruteknik yang bertauliah akan datang untuk mengajar cara penggunaan dengan betul. Pada hari-hari berikutnya, kita terpaksa mengendalikan alat tersebut tanpa kehadiran juruteknik tersebut. Sekiranya cara kita mengedalikan alat tersebut sama seperti yang diajar didalam manual tersebut, maka alat itu akan berfungsi dengan sempurna. Begitu jugalah ALLAH matlamat ALLAH mengutuskan rasul dan menurunkan al-Quran. Hidup kita akan selamat dari kerosakkan sekiranya mengikuti apa yang digariskan didalam “manual” kita (al-Quran) dan diajar oleh "juruteknik" kita (Rasulullah).
4. Kita mestilah meyakini bahawa matlamat manusia hidup di dunia ini ialah untuk mengenal ALLAH dan seterusnya mentaati dan mengabdikan diri kepadaNya. Kita wajib mengenal ALLAH terlebih dahulu kerana awal dalam beragama adalah mengenal ALLAH. Semasa di awal dakwah Rasulullah, Rasulullah hanya ‘membawa Tuhan’ kepada para Sahabat dan memperkenalkan para Sahabat kepada Tuhan. Hasilnya, Rasulullah dapat membentuk jiwa kental para sahabat yang cinta dan takutkan ALLAH. Cara mengenal ALLAH adalah dengan belajar sifat-sifatNya.
5. Kita mestilah meyakini bahawa ALLAH menciptakan syurga sebagai ganjaran kepada mukmin yang taat dan neraka sebagai balasan bagi orang-orang kafir. Allah telah menjanjikan perkara ini didalam surah Asy-Syuura ayat 7. Kita mestilah sentiasa berusaha untuk mendapat ganjaran syurga walaupun jalan yang dilalui amat susah.
6. Kita mestilah mengimani bahawa manusia boleh berusaha dan berikhtiar untuk membuat kebaikan ataupun kejahatan tetapi hakikatnya kita tidak akan mendapat kebaikan kecuali dengan taufik dan hidayah dari ALLAH dan mendapat kejahatan dengan kehendak ALLAH. Kita merancang, ALLAH juga merancang, dan sebaik-baik rancangan adalah daripada ALLAH SWT.