Malam ini malam terakhir untuk melakukan solat tarawih dan esok adalah hari terakhir kita berpuasa untuk tahun ini. Adakah kita masih diberi kesempatan untuk bertarawih dan berpuasa pada tahun depan. Pada hari Jumaat (10 Sept 2010) ini kita akan sama-sama meraikan Hari Raya Aidilfitri.
Hari Raya adalah saat berbahagia dan bersuka ria. Kebahagian dan kegembiraan kaum mukminin di dunia adalah kerana Tuhannya, iaitu apabila mereka berjaya menyempurnakan ibadahnya dan memperoleh pahala amalannya dengan penuh keimanan terhadap janji-Nya kepada mereka iaitu mendapatkan anugerah dan keampunan-Nya. Allah Ta'ala berfirman yang bermaksud :- "Katakanlah: "Dengan kurniaan Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurniaan Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan." (Yunus: 58)
Ketika Nabi SAW tiba di Madinah, kaum Ansar memiliki dua hari istimewa. Mereka bersuka ria padanya. Maka Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Allah telah menggantikan bagi kamu dua hari yang jauh lebih baik, (iaitu) 'Idul Fitri dan 'Idul Adha" (Riwayat Abu Daud dan Al-Nasa'ie)
Hadis ini menunjukkan bahawa menampakkan rasa gembira di hari raya adalah sunnah dan sesuatu yang disyariatkan. Maka, diharuskan memperluaskan hari raya tersebut secara menyeluruh kepada segenap kaum kerabat dengan pelbagai hal yang tidak diharamkan yang mendatangkan kesegaran badan dan melegakan jiwa, selagi tidak menjadikannya lupa untuk taat kepada Allah.
Adapun yang dilakukan kebanyakkan orang saat hari raya dengan berduyun-duyun pergi memenuhi pelbagai tempat hiburan dan pemainan, maka itu tidak dibenarkan. Ini kerana hal itu tidak mnepati kehendak syarak iaitu untuk berzikir kepada Allah SWT. Hari raya tidak sinonim dengan hiburan, permainan dan pembaziran (harta) , tetapi hari raya adalah untuk berzikir kepada Allah dan bersungguh-sungguh dalam beribadah.
Sunah Rasulullah SAW ketika menyambut hari raya
Pada Hari Raya 'Idul Fitri, Nabi SAW mengenakan pakaian terbaiknya dan makan kurma dengan bilangan ganjil (3,5, atau 7) sebelum pergi melaksanakan solat 'Id (hari raya). Tetapi pada 'Idul Adha, baginda tidak makan terlebih dahulu sampai baginda pulang. Setelah itu barulah baginda memakan sebahagian daripada daging binatang sembelihannya.
Baginda selalu melalui jalan yang berbeza ketika berangkat dan pulang (dari solat) 'Id. Baginda selalu mandi sebelum solat 'Id. Baginda melewatkan sedikit solat 'Idul Fitri agar kaum muslimin sempat untuk menunaikan zakat fitrah. Sedangkan baginda mempercepatkan perlaksanaan solat 'Idul Adha supaya kaum muslimin dapat segera menyembelih binatang korbannya.
Ibnu Uma r.a sangat bersungguh-sungguh dalam mengikuti sunnah Nabi SAW. Beliau tidak keluar untuk solat 'Id kecuali setelah terbit matahari, dan beliau sentiasa bertakbir dari rumah sehingga ke tempat solat.
Takbir Hari Raya
Takbir pad 'Idul Fitri merupakan taqarrub kepada Allah SWT yang sangat dianjurkan, sebagai rasa syukur atas nikmat dan petunjuk yang dibrikan oleh Allah SWT kepada kita sebagaimana disebutkan dalam firman-Nya yang bermaksud :- "Allah menghendaki kemudahan bagi kamu, dan tidak mengkehendaki kesukaran bagi kamu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur." (al-Baqarah: 185)
Firman-Ny juga bermaksud: "Dan berzikirlah (dengan menyebut) Allah dalam beberapa hari yang dibilang." (al-Baqarah : 203)
Takbir merupakan syiar Islam yang perlu dipelihara dan diagungkan. Firman Allah yang bermaksud: "Demikianlah (perintah Allah). Sesiapa mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketaqwaan hati." (al-Hajj:32)
Menurut mazhab al-Syafie, takbir 'Idul Fitri sunat dilakukan sebaik sahaja matahari terbenam pada malam 'idulfitri sehingga menunaikan solat 'Id.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI MAAF ZAHIR & BATIN....
No comments:
Post a Comment